Mulai 24 - 28 Hb Mac 2009 perhimpunan terbesar orang-orang Melayu akan bermula iaitu "PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2009" tahun ini akan menyaksikan pertandingan jawatan-jawatan utama parti kecuali Jawatan Presiden UMNO yang telah dimenangi tanpa bertanding oleh YAB Dato' Seri DiRaja Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, merupakan Timbalan Perdana Menteri kini. manakalan jawatan utama lain yang dipertandingkan ialah Timbalan Presiden UMNO yang melibatkan 3 Calon iaitu YB Tan Sri Dato' Seri Muhyiddin Yasin, YB Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan YAB Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (Dilarang bertanding oleh Lembaga Displin UMNO Pada 17 Mac 2009), Jawatan ini merupakan jawatan penting kerana penyadang jawatan Timbalan Presiden akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. kini terserlah kepada para perwakilan untuk meberikan kemenangan kepada 2 Tan Sri yang bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO sama-samalah kita nantikan......semoga yang terpilih dapat memulihkan kestabilan politik Negara yang tercinta ini. Bersamalah kita doakan moga perhimpunan ini berjalan dengan lancarnya tanpa sebarang masalah....kepada semua selamat menunaikan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada semua..........selamat bersidang.
**SAJA BUAT ULASAN NAK PANASKAN PERMILIHAN UMNO PADA TAHUN INI
Selasa, 17 Mac 2009
PERSIDANGAN UMNO...
Khamis, 12 Mac 2009
Titah Ucapan Raja Nazrin Shah : Pertahan resipi kekuatan Melayu
Raja Muda Perak Darul Ridzuan
TEKS titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di majlis pelancaran buku The Malays di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 10 Mac 2009.
Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat ke majlis pelancaran buku The Malays hasil kajian Profesor Anthony Milner, Profesor of Asian History, Australian National University.
Majlis pagi ini memaparkan lima elemen yang amat signifikan.
Pertama: The Malays' dihasilkan dalam bahasa Inggeris oleh seorang ahli akademik Australia, pelancarannya dilangsungkan dalam bahasa yang memberikan penghormatan kepada bahasa Melayu, bahasa yang termaktub dalam Perlembagaan negara sebagai bahasa kebangsaan.
Perjuangan menobatkan bahasa Melayu telah melalui perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama. Raja-Raja Melayu dalam mesyuarat Durbar pada 1903 di Kuala Lumpur telah membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Usaha menobatkan bahasa Melayu mencapai kemuncak apabila bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya menjadi bahasa ilmu di pusat-pusat pengajian tinggi dan menjadi lengkap apabila terlaksana penggunaannya di kamar mahkamah di negara ini.
Dalam ucapan di Malam Teguh Bahasa pada 11 September 2005, Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengingatkan, daripada 6,000 bahasa yang dipertuturkan, hanya 300 sahaja yang dituturkan oleh lebih sejuta orang, 5,700 bahasa dituturkan oleh kurang daripada sejuta orang. Dijangkakan separuh dari 5,700 bahasa ini akan pupus dalam tempoh seabad lagi kerana tidak dipertuturkan dan tidak diajar kepada golongan muda.
Sejarah menunjukkan, untuk sesuatu bahasa itu pupus, ia mengambil masa antara 50 ke 100 tahun, tetapi dengan keganasan gelombang globalisasi, kadar kebinasaan bahasa boleh berlaku dalam tempoh satu generasi sahaja. Bahawa globalisasi boleh mempercepatkan kepupusan bahasa, jika langkah-langkah bijak lagi tegas tidak dilakukan untuk memastikan bahasa milik bangsa Melayu ini tidak akan berakhir dengan nasib yang menimpa bahasa Latin.
Kedua: Majlis pelancaran ini dilangsungkan di Universiti Kebangsaan Malaysia; sebuah universiti yang dilahirkan sebagai puncak manifestasi perjuangan memartabatkan bahasa Melayu. Universiti Kebangsaan merupakan universiti pertama yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penyampaian ilmu di peringkat pengajian tinggi, sekali gus membuktikan keupayaan bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa perantaraan ilmu.
Universiti Kebangsaan adalah manifestasi kesungguhan negara bangsa melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan dan melaluinya, telah membantu meningkatkan tahap pencapaian ilmu di kalangan rakyat jelata, berupaya menjadi cerdik pandai di samping mengembangkan daya intelek di kalangan warga.
Ketiga: Walaupun bilangan orang Melayu di Malaysia hanya dalam lingkungan 15 juta orang, kurang dari 0.5 peratus daripada jumlah 350 juta orang yang tergolong dalam rumpun Melayu, namun Profesor Anthony Milner telah memberikan pengiktirafan kepada bumi Melayu di negara yang bernama Malaysia ini untuk dilangsungkan pelancaran The Malays. Halaman 151, The Malays, mencatatkan:
Although Malaya (and its expanded form Malaysia) has in many ways been the 'Malay' success story -- an experiment in nation building founded (at least in large part) on 'Malay' ethnic sentiment -- this outcome was not inevitable.'' Anthony Milner, The Malays, muka surat 151.
Milner turut merakamkan antara peristiwa yang memperlihatkan keyakinan rumpun Melayu terhadap kepimpinan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) seperti yang terkandung di halaman 168.
"Some 250,000 people signed a petition to the United Nations with the aim of incorporating Pattani and other southern Muslim provinces (Yala, Nrathiwat and Satun) in the emerging Malaya.'' Anthony Milner, The Malays, muka surat 168.
Huraian dan analisis Milner dalam penerbitan beliau sebahagian besarnya ditumpukan kepada Malaysia, serta dinamik politik yang berlaku di Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang komposisi warganya terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik dan budaya tetapi termaktub di dalam Perlembagaan negara status agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu serta keistimewaan dan perlindungan kepada bangsa Melayu.
Keempat: Pengiktirafan yang diberikan oleh Profesor Anthony Milner kepada Kesultanan Melayu apabila beliau merafakkan sembah jemputan kepada beta untuk berangkat bagi melafazkan titah menyempurnakan pelancaran The Malays'. Beta mentafsirkan, pengiktirafan tersebut adalah pengiktirafan beliau, bukan atas batang tubuh peribadi beta, tetapi pengiktirafan yang didedikasikan kepada institusi Kesultanan Melayu. Ini adalah selaras dengan kupasan-kupasan kajian beliau akan peranan penting Raja-Raja dan Kerajaan di kalangan rumpun Melayu. Di halaman 233, Anthony Milner mencatatkan:
"The Sultan could be presented as 'cement' helping to bond the bangsa, or as the 'symbol' of the Malay race." Anthony Milner, The Malays, muka surat 233.
Di halaman 177, Anthony Milner turut memetik tulisan Wan Syaifuddin pada tahun 2003, berjudul Kronik Mahkota Kesultanan Serdang terbitan Yandira Agung, Medan.
"One prominent development in post-Suharto Indonesia has been a widespread revival of sultanates, including many described as 'Malay'. Among these are Landak, Mempawah, Puntianak and Sambas (West Kalimantan); Bulungan, Kutei, and Pasir (East Kalimantan); and Serdang (north Sumatra). There is even a new interest in the Pagaruyung monarchy.... The Sultan of Mempaweh in Kalimantan is reported to have declared that in times of uncertainty, 'Dayaks' run to the long house but 'Malays' run to the palace;.... Anthony Milner, The Malays, muka surat 177.
Milner turut memetik manuskrip tulisan Gerry van Klinken, bertajuk Return of the Sultans: The Communitarian Turn in Local Politics.
"The Sultans have formed a 'Communication Forum for the Kratons (royal palaces) of Indonesia...'' Anthony Milner, The Malays, muka surat 177.
Beta menghargai pendirian Profesor Anthony Milner mengiktiraf bahawa Raja Melayu itu adalah institusi penting warisan bangsa Melayu. Sesungguhnya sejarah mencatatkan Istana Raja Melayu itu berperanan sebagai pusat berkembangnya tamadun bangsa. Istana memperlihatkan sehalus budaya - mencerminkan secantik bahasa, melindungi khazanah tamadun bangsa - menyimpan kekayaan budaya bangsa.
Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan negara - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara tempat rakyat tumpang berteduh. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa. Raja itu adalah lambang Kerajaan. Rakyat yang memahami 'budaya rakyat beraja - negeri bersultan' memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, melindungi kepentingan bangsa Melayu.
Dalam puisi Korban Hang Tuah penyair Zurinah Hassan cuba menyelami gelombang serba salah yang menghempas dada Hang Tuah ketika terpaksa membuat perhitungan untuk memilih antara kesetiaan kepada sahabat dan kesetiaan kepada Raja. Hang Tuah akhirnya terpaksa memilih, mengorbankan sahabat kesayangannya walaupun dituduh melakukan kesetiaan melulu. Zurinah menghuraikan Hang Tuah sebenarnya tidak sekadar membunuh Hang Jebat tetapi menentang satu penderhakaan - menentang perebutan kuasa. Bagi Zurinah, Hang Tuah bukan bukan sekadar mempertahankan seorang Raja tetapi mempertahankan lambang negara kepada sebuah kerajaan demi memastikan bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia. Tanpa kerajaan apalah ertinya lagi sebuah negara.
Milner mencatat, kerajaan-kerajaan berpaksikan Melayu itu adalah kerajaan yang mempunyai raja baik di Riau, Lingga, Deli, Siak, Langkat, Kampar dan Inderagiri di Sumatera begitu juga di negeri-negeri Kutei, Bulangan, Puntianak, Landak, Mempawah dan Sambas di Kalimantan. Di Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu diiktiraf bukan sahaja menjadi asas berkerajaan malah terlibat langsung dalam gerakan menentang Malayan Union. Demikian juga berperanan penting dalam usaha memperjuangkan dan mencapai kata sepakat menuntut kemerdekaan. Kesembilan Raja Melayu memberikan perkenan untuk ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan turut berkenan untuk dilantik salah seorang daripada baginda-baginda itu menjadi Ketua Negara secara bergilir-gilir dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.
Kelima: Karya Anthony Milner menimbulkan semula catatan-catatan sejarah tentang bangsa Melayu di samping mengemukakan penemuan-penemuan baru. Profesor Milner dalam tahun 1982 telah menghasilkan penerbitan berjudul "Kerajaan: Malay Political Culture On The Eve of Colonial Rule" dan pada tahun 1995 menghasilkan penerbitan berjudul "The Invention of Politics in Colonial Malaya''. Bibliografi yang disenaraikan oleh Milner memperlihatkan senarai panjang, kumpulan penyelidik, pengkaji dan penulis tentang bangsa Melayu.
Beta percaya terdapat banyak lagi bahan penyelidikan dan penulisan tentang bangsa Melayu yang telah, sedang dan akan terus dilakukan. Minat di kalangan bukan Melayu melakukan penyelidikan terhadap bangsa Melayu memperlihatkan bahawa Melayu itu adalah satu bangsa yang sentiasa mendapat perhatian dari pelbagai pihak.
Definisi "Melayu" itu tidak terhenti daripada terus menjadi bahan diskusi dan subjek kajian. Definisi bangsa Melayu itu tidak terbatas kepada satu definisi sahaja. Tergabung dalam rumpun Melayu itu himpunan kekayaan pelbagai suku keturunan yang juga menguasai pelbagai dialek dan pelbagai subbudaya.
Alam Melayu itu merentasi kawasan geografi yang luas dari Filipina ke Madagascar, dengan saiz komuniti berjumlah 350 juta. Melalui perdagangan dan penghijrahan, rumpun Melayu itu turut merentasi kawasan geografi yang luas, mengembara jauh di luar gugusan kepulauan Melayu.
Terdapat pelbagai deskripsi menggambarkan watak Melayu. Melayu digambarkan bangsa yang bertoleransi, penuh beradat - sangat bersopan, juga digambarkan suka melatah, mudah mengamuk. Dalam hikayathikayat lama dan cerita-cerita rakyat, terkandung pula sifat-sifat dendam, khianat, dengki, menipu, zalim, bodoh dan malas yang diimbangkan pula dengan sifat-sifat mulia, adil, ikhlas, jujur, cerdik, rajin, tekun, taat dan setia.
Jika demikian pelbagai deskripsi tentang bangsa Melayu ini, rumusan yang dapat disimpulkan ialah bangsa Melayu itu adalah insan yang bernama dan bersifat manusia, kerana sifat dan karakter manusia yang pelbagai itu, terdapat di kalangan semua bangsa dan tamadun lain, baik di Barat mahupun di Timur.
Gugusan kepulauan Melayu itu berada di antara dunia barat dan dunia timur, demikian juga antara Asia barat dan Asia Timur. Ia merupakan gugusan yang amat terdedah kepada dunia. Pelbagai agama, budaya dan bahasa sampai ke gugusan kepulauan Melayu, lalu berlaku proses integrasi dan asimilasi pengaruh daripada pelbagai agama, budaya dan bahasa. Bahasa Sanskrit dan Arab sebagai contoh telah mempengaruhi pemikiran dan tahap literasi bangsa.
Perkataan daripada bahasa-bahasa Parsi, Mandarin, Tamil dan Portugis, turut terdapat dalam perbendaharaan kata Melayu. Pengaruh bahasa Inggeris begitu dominan, susulan daripada pengembangan sistem pendidikan serta kemajuan sains dan teknologi.
Ini telah mempengaruhi Bahasa Melayu itu berubah secara dinamik dengan perbendaharaan kata yang semakin bertambah. Bahasa Melayu telah melalui proses transformasi, berasal dengan bahasa lisan, diperkaya dan diperkembangkan melalui adaptasi penulisan, bermula dengan tulisan jawi, disusuli dengan tulisan rumi. Perkembangan bahasa Melayu itu telah berperanan penting dalam meningkatkan daya intelek dan daya analisis bangsa.
Demikian juga proses penyerapan, pengubahsuaian, percantuman yang berlaku dalam budaya Melayu. Nyatalah Melayu sebagai satu rumpun bangsa, sebagai satu budaya kehidupan, tidak statik. Rumpun Melayu itu berupaya melakukan adaptasi kepada dinamik yang berlaku di persekitaran kehidupannya dan berupaya melakukan perkasaan sosial dan penyesuaian ideologi. Namun bangsa itu juga secara bijaksana berupaya mempertahankan identiti asas bangsanya, secara bijaksana berupaya mengimbangkan antara yang lama dengan yang baru, antara tradisi dan modenisasi, antara lokal dan global. Bangsa Melayu yang memiliki jati diri yang tinggi telah berjaya melakukan perubahan tanpa melupakan tradisi dan nilai kesinambungan.
The Malays memetik dan mengulas kata-kata hikmat pesanan Hang Tuah, "Tak kan Melayu Hilang Di Dunia". Kemudian mencatatkan peringatan Munsyi Abdullah bahawa survival bangsa sebenarnya bergantung pada pelajaran, dan merakamkan kebimbangan Ishak Haji Mohamad bahawa "Melayu itu boleh hilang di dunia".
Berlaku pertentangan ungkapan antara pahlawan Melayu bernama Hang Tuah dan nasionalis Melayu bernama Ishak Haji Mohamad, di tengah-tengah peringatan seorang Munsyi bernama Abdullah.
Sewaktu menyampaikan titah di International Conference on Malay Civilization pada 30 September 2002, beta pernah memajukan persoalan menyentuh perkembangan antara tuntutan tradisi (claims of tradition) dan permintaan terhadap kemodenan (demands of modernity) dalam masyarakat pada hari ini. Dikatakan bahawa budaya yang progresif menekankan kepada masa depan sementara budaya yang statik menekankan sejarah lama dan suasana semasa.
Peringatan beta, jangan bangsa sampai ke peringkat keterlaluan. Bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijak dan dilaksanakan secara arif dapat berfungsi sebagai pemudah cara memajukan bangsa. Bahawa elemen-elemen yang berperanan sebagai faktor penyatuan bangsa selama hari ini, adalah modal sosial yang amat berharga yang wajib dipertahankan.
Dalam konteks bangsa Melayu di Malaysia, elemen-elemen tersebut terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya yang berada di bawah payung naungan dan perlindungan Raja-Raja Melayu mengikut yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Klausa-klausa menyentuh agama Islam, institusi Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dimaktubkan di dalam Perlembagaan Negara.
Takrif bangsa Melayu diperkemas, diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Itulah resipi kekuatan Melayu di bumi ini. Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi tersebut.
Survival Melayu sebagai satu bangsa bergantung kepada beberapa faktor yang telah selama hari ini memberikannya identiti dalam bentuk agama, bahasa dan budaya, termasuk budaya bernegara dan berkerajaan berpegang kepada prinsip rakyat beraja - negeri bersultan.
Betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan-tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu. Betapa terancamnya survival bangsa apabila tradisi dan institusi sudah tidak lagi dihormati dan disifatkan sebagai antitesis kepada pemikiran rasional, modeniti dan sains. Betapa malangnya apabila generasi yang cetek terhadap latar belakang sejarah mengaitkan 'tradisi' sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik.
Bahawa tidak ada tamadun agung yang dapat dibina tanpa menghargai, mengiktiraf dan meneruskan kesinambungan tamadun dengan sejarah masa lalu - merangkaikan antara satu generasi dengan generasi yang lain, mengkhazanahkan himpunan pengalaman dan pengetahuan bangsa untuk dijadikan "memori sosial" bangsa lalu dijadikan asas utama dalam membina identiti sebuah negara bangsa.
Setiap negara bangsa memerlukan minda sejarah dan penghargaan terhadap sejarah yang telah membina tamadun bangsa dan memberikan identiti kepada bangsa. Negara China sebagai contoh telah melalui proses evolusi dan juga revolusi budaya yang hebat, dari sebuah negara Maharaja menjadi negara komunis. Tetapi memori sosial dan memori budaya bangsa China tidak terpadam. Acara pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008, memperlihatkan bukti kebanggaan satu bangsa terhadap sejarah dan tamadun zaman silamnya.
Dalam mengharungi gelombang globalisasi dan dalam menghadapi dinamik politik yang sedang berlaku di negara ini, bangsa Melayu berada di persimpangan jalan - bangsa Melayu menghadapi dua kemungkinan. Kemungkinan pertama, bangsa Melayu itu akan terus survive, berkembang dan kuat, serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global, atau kemungkinan kedua, barang dijauhkan AIlah daripada berlaku, bahawa bangsa Melayu itu akan hanyut dalam gelombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut.
Pemikiran, gaya hidup dan nilai-nilai budaya bangsa makin disisihkan. Akhirnya Melayu itu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama.
Ketika itu tidak akan ada lagi minat untuk dilakukan kajian sosiopolitik dan sosioekonomi bangsa Melayu secara dinamik. Kalau masih ada yang berminat mengkaji bangsa Melayu, ia mungkin terbatas kepada sejarah kejatuhan bangsa ini ataupun lebih tertumpu kepada aspek antropologi dan arkeologi bangsa Melayu yang hanya tinggal dalam sejarah. Untuk itu perlulah bangsa mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kaduk, memiliki ayam sabung yang hebat, lalu dipermainkan oleh pihak lawan; akhirnya Pak Kaduk menyerahkan ayam sabungnya kepada lawan; Pak Kaduk sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah digadai.
Beta menzahirkan ucap tahniah kepada Profesor Anthony Milner atas daya usaha melakukan kajian mendalam dan komprehensif. Penemuan dan kupasan beliau pastinya akan menjemput pelbagai ulasan dan diskusi untuk mencambahkan perkembangan ilmu dan perkembangan intelek. Usaha-usaha beliau sewajarnya diberikan penghargaan oleh bangsa Melayu, paling minimumnya menjadikan The Malays sebagai teks yang wajib dirujuk oleh para pelajar sosiopolitik Melayu.
Dengan kebesaran dan semoga mendapat keberkatan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, beta dengan sukacitanya merasmikan pelancaran buku The Malays.
Rabu, 11 Mac 2009
SENARAI RAJA KITA
SENARAI NAMA RAJA-RAJA MELAYU DAN YANG DI-PERTUA NEGERI-NEGERI DISELURUH MALAYSIA
Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
D.K.T., D.K.R., D.M.N., S.S.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K. (Perlis), D.K.(Johor), D.K.M.B.(Brunei), D.K.(Perak), D.K.(Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), S.P.M.J., Commandeur De La Legion D'Honneur (France).
Tarikh dilantik menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13hb. Disember 2006 hingga 12hb. Disember 2011
Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah,
Naik takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pada 15hb Julai 1958 dan ditabalkan pada 20hb. Februari 1959.
Kebawah Duli Yang MahaMulia Sultan Pahang
Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'Ayatuddin Al-Mu'Adzam Shah,
D.K.P., D.K., D.K.M., S.S.A.P., S.I.M.P., D.M.N., D.K. (Perak), D.K. (Johor), D.K. (Kelantan), D.K. (Terengganu), D.K. (Perlis), D.K. (Kedah), D.K.M.B.(Brunei), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Selangor), QILADAH BADR Al-Kubra (Saudi Arabia), QILADAH Al-Syeikh Mubarak Al-Kabir (Kuwait), Grand Order of the Mugunghwa (South Korea), HON. D.Litt (Malaya), LLD hc (Northrop USA).
Naik Takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur pada 7hb. Mei 1974 dan ditabalkan pada 6hb. Mei 1975.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra,
D.K., D.M.N., D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Selangor), D.K. (Johor), D.K.(Kedah), D.K. (Perak), D.K. (Terengganu), D.K. (Perlis), D.K.M.B. (Brunei), D.P.S.S. (Sarawak), D.P. (Sarawak), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K.
Naik Takhta Kerajaan Negeri Kelantan pada 29hb. Mac 1979 dan dimahkotakan pada 30hb. Mac 1980
Duli Yang Maha Mulia Baginda Almutawakkil 'Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Haj, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim.
Naik Takhta Kerajaan Negeri Johor Darul Ta'zim pada 11hb. Mei 1981.
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak
Sultan Azlan Muhibbuddin Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah,
D.K., D.K.M., D.M.N., D.K. (Kelantan), D.K. (Terengganu), D.K. (Perlis), D.K. (Johor), D.K. (Selangor), D.K. (Kedah), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Pahang), S.S.M., P.M.N., P.S.M., S.P.C.M., S.P.T.S, S.P.M.P, S.I.M.P., Hon. Knight Grand Cross (Civil Division) of The Order of The Bath (U.K.), The Bintang ADI PURNA (Republic of Indonesia), The Most Auspicious of The Rajamitrabhorn Thailand, Grand Order of the Mugunghwa (Republic of Korea), Collar of Japanese Order of The Chrysanthemum and Grand Cordon of The Supreme Order of The Chrysanthemum (Japan), Civil Order, 1st Class (Oman), Grand Cross Special Class of the Order of Merit of the Federal Republic of Germany (Germany), Orden Al-Merito De Chile (Republic of Chile), and Order of Hussein Ibni Ali Qiladah Al-Hussein bin Ali (Jordon)
Naik takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 3hb. Februari 1984 dan ditabalkan pada 9hb. Disember 1985.
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Negeri Perlis
Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail,
D.K.P., D.K., S.S.P.J., D.M.N., D.K.(Perak), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K.(Kelantan), D.K. (Brunei), D.K. (Selangor), D.K.(Terengganu), S.P.M.J., S.P.C.M., S.S.M.T., Grand Order of King Tomislav (Croatia), Grand Collier DeL'Independence (Grand M edal of The Independence)-Combodia, Grand Croix De L'Ordre (Royal Sash)-Combodia, Cavaliere Di Gran Croce Decorato Di Gran Cordone (Italy), Decoration of Omayad-The Finest Decoration (Syria), Knight of The Royal Order of The Seraphim (Sweden), Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure (Japan)
Naik Takhta Kerajaan Negeri Perlis Indera Kayangan pada 17 April 2000 dan ditabalkan pada 7hb. Mei 2001.
D.K., D.M.N., D.K. (Terengganu), D.K. (Kelantan), D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), S.P.M.S, S.S.I.S, S.P.M.J.
Naik takhta Kerajaan Negeri Selangor pada 22hb. November 2001 dan dimahkotakan pada 08hb Mac 2002
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Paduka Seri Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir,
D.K., D.K.Y.R., D.K. (Perak)., P.P.T.
Naik takhta Kerajaan Negeri Sembilan pada 29hb. Disember 2008
Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin,
D.K., S.S.M.Z.
Dilantik Sebagai Pemangku Raja Terengganu Pada 12 Disember 2006 hingga 11 Disember 2011
Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin,
S.M.N., D.P., S.P.M.P., S.P.D.K., D.U.P.N., P.C.D.
Dilantik menjadi Yang Di-Pertua Negeri pada 2hb. April 1977 hingga 1hb. April 1981; Dilantik semula pada 5hb. Disember 2000 selama tempoh 4 tahun; dan Dilantik semula pada 5hb. Disember 2004 selama tempoh 2 tahun, dilantik semula pada 5hb. Disember 2006 selama tempoh 2 Tahun dan dilantik semula selama 1 tahun mulai 5hb. Disember 2008 - 4hb. Disember 2009
Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas,
S.M.N., D.M.K., D.U.P.N., S.P.D.K., D.P., D.M.P.N., D.J.N.
Dilantik menjadi Yang Di-Pertua Negeri pada 1hb. Mei 2001 selama tempoh 4 tahun; Dilantik semula pada 1hb. Mei 2005 selama 4 tahun.
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Tun Ahmadshah Bin Abdullah,
S.M.N., D.M.K., S.P.D.K., D.P., D.U.P.N., P.G.D.K., A.S.D.K., K.M.N., J.P.
Dilantik menjadi Yang Di-Pertua Negeri pada 1hb. Januari 2003 selama tempoh 4 tahun, dilantik semula mulai 1hb Januari 2007 selama tempoh 4 tahun.
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Haji Mohd. Khalil Bin Yaakob
Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 4hb. Jun 2004 selama tempoh 4 tahun, dilantik semula selama tempoh 4 tahun mulai 4hb Jun 2008.
Titah DYTM Raja Muda Perak : Melayu mungkin pupus?
Baginda bertitah, resipi yang mahu diubah itu terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya di bawah naungan dan perlindungan raja-raja Melayu serta termaktub dalam Perlembagaan.
Baginda menegaskan, dalam konteks bangsa Melayu di negara ini, resipi kekuatan itu merujuk kepada elemen utama penyatuan dan kekuatan bangsa.
"Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi tersebut,'' titah baginda.
Raja Nazrin bertitah demikian ketika melancarkan buku The Malays karya ahli akademik Australian National University, Prof. Anthony Milner di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Raja Muda Perak bertitah, keterusan hidup atau survival Melayu sebagai satu bangsa bergantung beberapa faktor yang selama ini memberikannya identiti dalam bentuk agama, bahasa dan budaya.
Titah baginda, ia termasuk budaya bernegara dan berkerajaan yang berpegang kepada prinsip rakyat beraja dan negeri bersultan.
Baginda bertitah, betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu.
"Betapa terancam survival bangsa apabila tradisi dan institusi tidak lagi dihormati dan disifatkan sebagai antitesis kepada pemikiran rasional, permodenan dan sains.
"Betapa malangnya apabila generasi yang cetek terhadap latar belakang sejarah mengaitkan tradisi sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah, dalam mengharungi gelombang globalisasi dan menghadapi dinamik politik yang sedang melanda, bangsa Melayu kini di persimpangan jalan dan menghadapi dua kemungkinan.
Titah baginda, kemungkinan pertama ialah bangsa Melayu akan terus bertahan, berkembang dan kuat serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global.
Kemungkinan kedua, titah baginda, ialah bangsa Melayu hanyut dalam gelombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut malah pemikiran, gaya hidup dan nilai-nilai budaya bangsa makin disisihkan.
Sehingga akhirnya, baginda bertitah, Melayu itu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama.
Pada ketika itu, Raja Nazrin bertitah, tiada lagi minat untuk dilakukan kajian sosiopolitik dan sosioekonomi bangsa Melayu secara dinamik.
Baginda bertitah, kalau masih ada pun yang berminat mengkaji bangsa Melayu, ia mungkin terbatas kepada sejarah kejatuhan atau lebih tertumpu kepada aspek antropologi dan arkeologi bangsa Melayu yang hanya tinggal dalam sejarah.
"Untuk itu, perlulah bangsa mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kadok, memiliki ayam sabung yang hebat lalu dipermainkan oleh pihak lawan.
"Akhirnya Pak Kadok menyerahkan ayam sabung kepada lawan, Pak Kadok sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah digadai," titah baginda.
Petikan Utusan Malaysia
**Benar titah DYTM Raja Dr. Nazrin itu, jika orang melayu semakin alpa dan lalai akan dunia ciptaan orang yahudi tak mustahil orang melayu akan pupus indentiti kemelayuan yang asli. renungilah kembali akan sejarah lampau kita orang melayu asyik ditakuk yang sama tidak pernah berubah dan mengenali diri sendiri. kita asyik membangga akan keupayaan orang lain tetapi bangsa dan diri kita sendiri masih tidak berubah. oleh itu kembalilah kita menjadi MELAYU asli sejati dan dipandang mulia oelh orang lain. seperti kisah Luncai, mat Jenin, Pak Kadok, Pak Pandir dan lain-lain kisah kebodohan orang melayu yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita bukan menjadi ikutan watak-watak tersebut. saya sekadar mengingati sahaja supaya bangsa melalu terus menjadi bangsa yang dipandang mulia dan penoh adat yang bersopan santun. marilah kita bersama mencari jalan supaya MELYU tidak pupus indentitinya dibumi sendiri.......
Selasa, 10 Mac 2009
LATIHAN KOMANDO NEGARA THAILAND...
PESANAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG : Sikap tamak cetus petaka
KUALA LUMPUR 9 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di negara ini supaya menghayati sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan iktibar dan pengajaran.
Seri Paduka bertitah, Rasulullah meninggalkan panduan amat berguna kepada umatnya untuk diikuti agar mampu mencipta satu tamadun yang gemilang.
Menurut Tuanku Mizan, antara asas ke arah kecemerlangan yang sering ditekankan oleh Rasulullah ialah kepentingan kesatuan di kalangan umatnya sebagai pemangkin kepada pembentukan ‘khaira ummah’ (umat terbaik).
“Untuk menjadi sebuah negara maju pada masa depan tidak akan tercapai jika aspek kesatuan atau perpaduan diambil ringan oleh semua pihak,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2009 bertemakan Wahdah Pemangkin Khaira Ummah di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
Sambutan itu disertai hampir 100,000 peserta termasuk kakitangan kerajaan, badan berkanun, pertubuhan swasta, golongan pelajar dan badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam perkembangan sama, Tuanku Mizan bertitah, sejarah Islam yang diterjemahkan melalui kegemilangannya telah membuktikan umat manusia pada suatu ketika dulu pernah bersatu di bawah paksi kebenaran.
“Disebabkan sikap tamak dan mementingkan diri sendiri serta tidak mempedulikan nilai-nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi maka berlakulah pelbagai mala petaka dan kemusnahan lantaran kemurkaan Allah,” titah Seri Paduka.
Oleh yang demikian, tegas Seri Paduka, Islam mengharamkan sebarang bentuk penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi sebaliknya menghampiri keamanan, kesamarataan hak dan saling bantu membantu antara satu sama lain.
Dalam titah tersebut, Yang di-Pertuan Agong juga memberi penekanan bahawa Islam mewajibkan perlindungan dan hak sama rata ke atas setiap lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam.
“Beta menyeru umat Islam bersama-sama berusaha dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan serta meningkatkan penghayatan terhadap al-Quran dan Sunah Rasulullah sehingga menjadi ummah yang bersatu padu, terbilang dan sentiasa mapan mendepani cabaran semasa,” titah baginda.
Pada majlis itu, Seri Paduka berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima.
Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009 yang buat julung kalinya diperkenalkan pada sambutan kali ini ialah Profesor Dr. Sidek Baba dari Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang membawa pulang RM50,000 dan plak.
Penerima Anugerah Maulidur Rasul pula ialah Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman; dan Pengarah Urusan Syarikat Laksamana Nusantara Sdn. Bhd., Mortadha Abdullah.
Selain itu Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd. Yunus Pathi Mohd; pelajar, Muhammad Ahmad Zahid dan kanak-kanak istimewa kurang upaya dari pinggang ke bawah, Muhammad Haziq Samrat.
Masing-masing menerima wang tunai RM22,000 dan plak.
***Petikan dari Utusan Malaysia
**itulah antara pesanan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kepada kita semua, oleh itu sedarlah wahai manusia yang mempunyai sikap tamah haloba yang gilakan kedukan jawatan dan sebagainya. pesanan Tuanku Mizan itu tepat pada masa dan ketikanya dimana keadaan sekarang dengan kegawatan ekonomi dan kegawatan politik sejak akhir-akhir ini. marilah kita semua mengambil perhatian yang serius akan pesanan dan titah Seri Paduka itu akan kepintingan kehidupan kita bersama. kita juga haruslah menghayati pengorbanan dan sikap kesabaran Rasulullah SAW. Rasulullah meletakan kepentingan kepada Allah mengatasi segalanya, baginda juga sentiasa mendapat pelbagai ujian dari Allah SWT bagi menguji kesabaraan dan ketaqwaan baginda akan perintah Allah SWT. bersamalah kita semua mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW yang digelar "AL-AMIN"
Sabtu, 7 Mac 2009
PESANAN TERAKHIR RASULULLAH SAW....
Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:
- "Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
- "Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
- "Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
- "Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
- "Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
- "Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
- "Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
- "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
Jumaat, 6 Mac 2009
TUN DR. P. RAMLEE........??
Nama sebenar P. Ramlee ialah Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, dan beliau dilahirkan di Pulau Pinang pada hari Rabu 22 Mac 1929 tepat pada pagi Hari Raya Aidilfitri. Bapanya, Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim merupakan seorang ahli pelayaran yang berasal dari Lho' Seumawe, Aceh yang telah berkahwin dengan Che Mah Hussin pada 1925 di Kubang Buaya, Butterworth. Teuku Zakaria mendapat didikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian ke sekolah Francis Light hingga darjah lima. Seterusnya Teuku Zakaria meneruskan pelajarannya ke Penang Free School. Dari kecil lagi Teuku Zakaria lebih cenderung kearah nyanyian dan lakonan; dengan demikian mengabaikan pelajarannya. Semasa Pendudukan Jepun, Teuku Zakaria pernah bertugas sebagai budak pejabat (peon) di sebuah kilang timah, dan kemudian memasuki sekolah tentera laut Jepun (Kaigun). Di sini Teuku Zakaria berpeluang mempelajari lagu-lagu Jepun selain berdamping rapat dengan anggota tentera laut Jepun. Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Teuku Zakaria meneruskan pelajaran di Penang Free School hingga ke darjah tujuh sahaja. Minat Teuku Zakaria dalam bidang seni suara dan seni muzik mendorong beliau untuk bergiat dalam pancaragam 'Sinaran Bintang Sore' dan 'Teruna Sekampung' di samping mempelajari muzik dengan Encik Kamaruddin, seorang guru muzik yang terkenal. Dalam 1945 Teuku Zakaria mencuba bakatnya dalam peraduan menyanyi anjuran Radio Pulau Pinang khusus untuk Utara Malaya. Teuku Zakaria berjaya menggondol tempat ketiga dalam pertandingan Radio Pulau Pinang itu.
Pada tahun berikut Teuku Zakaria sekali lagi menyertai pertandingan Radio Pulau Pinang dan kedudukannya meningkat lagi - nombor dua; dan dalam 1947 Teuku Zakaria telah menyandang kejohanan peraduan tersebut. Pada masa menjadi calon peraduan menyanyi di Pulau Pinang itulah Teuku Zakaria menggunakan huruf 'P' (huruf potongan nama bapanya) di awal namanya. Nama inilah sehingga kini yang menjadi satu lagenda dalam dunia hiburan di alam Melayu. Pada akhir Mei dan awal Jun 1948 satu Pesta Pertanian Ria telah berlangsung di Bukit Mertajam, dan pada 1 Jun P. Ramlee telah diundang untuk memeriahkan pesta tersebut dan beliau telah mengalunkan sebuah lagu ciptaan sendiri berjudul 'Azizah'. Kebetulan B.S. Rajhans, seorang pengarah filem dari Shaw Brothers, Singapura sedang mencari-cari bakat baru lalu setelah mendengar persembahan P. Ramlee itu beliau pun ditawarkan menjadi penyanyi latar di dalam filem-filem arahannya. Pada 8 Ogos 1948, P. Ramlee pun berlepas dengan keretapi ke Singapura di mana Studio Malay Film Productions di Jalan Ampas menjadi tapak semaian bakatnya dalam bidang seni lakon dan seni suara berkembang.
Filem lakonan P. Ramlee yang pertama ialah Cinta (1948) dalam mana beliau diberi peranan sebagai penjahat. Oleh kerana minatnya dalam seni filem, P. Ramlee sanggup membuat apa saja kerja termasuk menjadi 'clapper boy', pembantu jurukamera, menjaga 'continuity' selain menyanyi sebagai penyanyi latar. P. Ramlee juga sanggup melakonkan berbagai watak termasuk berlawak jenaka dengan D. Harris dalam filem-filem Nur Asmara dan Nasib dan menjadi penjahat dalam filem filem Nilam dan Racun Dunia. P. Ramlee mula-mula memegang peranan wira (hero) dalam filem Bakti di samping Kasma Booty. P. Ramlee adalah bintang filem pertama yang boleh menyanyi tanpa menggunakan penyanyi latar. Semasa pembikinan filem Bakti inilah P. Ramlee mendirikan rumahtangga dengan Junaidah anak pelawak D. Harris. Dengan selesainya filem 'Takdir Illahi' maka berakhirlah kontrek P. Ramlee dengan studio Malay Film Productions (MFP) tetapi disambung semula apabila P. Ramlee sanggup berlakon dalam filem Penghidupan. Sejak itu P. Ramlee pun banyak memegang peranan utama, dan di antara filem-filemnya sebelum 1955 adalah: Sejoli, Juita, Antara Senyum dan Tangis, Patah Hati, Anjuran Nasib, Putus Harapan, Miskin, Sedarah, Ibu, Hujan Panas, Siapa Salah, Perjodohan, Panggilan Pulau, 'Merana' dan 'Abu Hassan Pencuri'. Dengan filem 'Abu Hassan Pencuri' itu kontreknya dengan Studio Jalan Ampas berakhir buat kali yang kedua. Dalam filem-filem tersebut P. Ramlee telah diserahkan berbagai peranan, dan P. Ramlee berjaya memperlihatkan kecekapan menghidupkan sebarang watak lakonan yang diserahkan kepada beliau oleh pengarah-pengarah seperti B.N. Rao, K.M. Basker, L.Krishnan, S. Ramanathan dan B.S. Rajhans.
Sebagai seorang yang dahagakan pengetahuan dan kejayaan, P. Ramlee terpengaruh dengan karya pengarah-pengarah asing seperti Akira Kurosawa dari Jepun dan Satyajit Ray dari India. Filem Hang Tuah (1955) arahan Phani Majumdar, adalah filem terakhir P. Ramlee berlakon sebelum P. Ramlee menjadi pengarah dan filem ini juga berjaya meletakkan P. Ramlee sebagai Penggubah Lagu Terbaik di seluruh Asia dalam Asian Film Festival di Hong Kong pada bulan Jun 1956. Dalam tahun pembikinan filem itu iaitu pada 6 Februari 1955 P. Ramlee telah berkahwin dengan Norizan bekas isteri Sultan Perak pada masa itu. Tahun 1955 adalah juga tahun bersejarah buat P. Ramlee dan peningkatan mutu filem-filem Melayu kerana dalam tahun itu juga P. Ramlee telah mengarah filemnya yang pertama iaitu Penarik Beca. Filem ini telah terpilih sebagai filem terbaik seluruh Tanah Melayu pada tahun 1956 semasa majalah Utusan Filem dan Sport mengadakan pemilihan seniman, seniwati dan filem terbaik bagi tahun tersebut. Majalah ini juga memilih 'Inang Baru' sebagai lagu terbaik bagi tahun 1955. Dalam 1956, P. Ramlee telah mengarahkan filemnya yang kedua, Semerah Padi yang bukan saja banyak 'trick-short' teknik penggambaran dan drama tetapi penuh dengan unsur-unsur budaya dan agama yang menyebabkan filem ini dianggap sebuah filem yang besar oleh beberapa orang pakar filem. Berbagai pembaharuan telah dilakukan dalam filem ini dari segi teknik, arahan dan seni lakon. Selain itu para bintang juga terdiri daripada barisan pelakon yang terhandal pada masa itu: Nordin Ahmad, Saadiah, A. Rahim, Daeng Idris, Normadiah dan banyak lagi. Pada tahun 1957 P. Ramlee mengarah filem-filem Panca Delima dan Bujang Lapuk. Dalam tahun ini juga P. Ramlee dianugerah award Pelakon Lelaki Terbalk di Pesta Filem Asia, Tokyo kerana peranannya yang bermutu sebagai bapa dan anak di dalam filem Anakku Sazali arahan Phani Majumdar. Dalam tahun berikutnya P. Ramlee menghasilkan Sumpah Orang Minyak yang telah memenangi Award Fotografi Hitam Putih Terbaik di Pesta Filem Asia. Lakonan P. Ramlee dalam filem Sarjan Hassan arahan Lamberto Avellana telah membawa kesan moral yang mendalam kepada askar-askar tempatan dan dengan itu P. Ramlee diberi penghormatan oleh Askar Melayu dengan gelaran 'Sargeant Titular'. Dalam 1959, filem P. Ramlee Pendekar. Bujang Lapuk telah dipilih sebagal filem Komedi Terbaik di Pesta Filem Asia di Kuala Lumpur. Dalam tahun itu juga P. Ramlee menghasilkan dua filem komedi, laitu Musang Berjanggut dan Nujumm Pak Belalang, dalam mana P. Ramlee memaparkan kelemahan masyarakat. Filem Nujum Pak Belalang telah memenangi award Filem Komedi Terbaik bagi tahun 1960. Filem Antara Dua Darjat (1960) dianggap satu filem kritikan sosial yang bernilai. Ali Baba Bujang Lapuk dan Seniman Bujang Lapuk adalah dua buah filem komedi yang terdapat padanya beberapa sindiran tajam. Dalam 1961 P. Ramlee telah berpisah dengan Norizan dan mengahwini Salmah Ismail, penyanyi yang terkenal dengan nama Saloma. Biduanita inilah satu-satunya teman hidup yang cocok baginya. Tahun 1962 merupakan tahun bersejarah bagi P. Ramlee sebagai pengarah, pelakon, pencipta lagu dan penyanyi kerana beliau telah dikurniakan bintang 'Ahli Mangku Negara' (AMN) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ketiga (Al-Marhum Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhun Syed Hassan Jamalullail). Dalam tahun itu juga P. Ramlee menghasilkan Labu Labi diikuti dengan Nasib Si Labu Labi pada tahun berikutnya. Kemuncak karya cemerlang P. Ramlee tentulah semasa beliau memenangi award khas 'The Most Versatile Talent' di Pesta Filem Asia 1963 di Tokyo bagi filem Ibu Mertuaku. Dalam 1964 P. Ramlee menghasilkan dua lagi filem komedi, 'Tiga Abdul' dan 'Madu Tiga'. Sekali lagi anugerah filem Komedi Terbaik dimenangi oleh P. Ramlee dengan filem 'Madu Tiga'. Dalam 1964 P. Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur dan bertugas di Studio Merdeka di Ulu Kelang. Dalam masa sembilan tahun di Studio itu beliau berjaya mengeluarkan sebanyak 18 buah filem. Ada di antaranya yang mendapat sambutan dan ada yang tidak. Di antara filem-filem yang dihasilkan di antara 1964 dan 1972 ialah: Si Tora, Ragam P. Ramlee, Masam-masam Manis, Sabaruddin Tukang Kasut, Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Sesudah Subuh, Keluarga 69, Anak Bapak, Gerimis, Enam Jahanam, Ahmad Albab, Kancan Tirana, Doktor Rushdi, Gelora, Putus Sudah Kasih Sayang, Jangan Tinggal Daku, dan filemnya yang terakhir Laksamana Do Re Mi. Selari dengan karyanya sebagai pelakon dan pengarah filem P. Ramlee mencipta dan menyanyikan lagu-lagunya untuk filem-filem yang dihasilkannya iaitu sebanyak 60 buah kesemuanya. Dalam proses penciptaan lagu, P. Ramlee banyak bergantung kepada rakan-rakannya untuk lirik lagu. Di antara yang paling banyak membantunya ialah S. Sudarmaji dan Jamil Sulong termasuk H.M. Rohaizad, Ainol Jamal dan lain-lain. P. Ramlee belajar penyusunan muzik daripada Osman Ahmad dan Yusof B. Tidak diketahui dengan tepat berapakah jumlah lagu ciptaan P. Ramlee ; tetapi yang nyata dikenali ramai adalah kira-kira 250 buah lagu. P. Ramlee, kepada rakan-rakan sejawat dan seperjuangan adalah pemimpin dari beberapa hal: P. Ramlee giat dalam persatuan seperti PERSAMA (Persatuan Artis-artis Malaya), kumpulan muzik PANCA SITARA, pasukan badminton dan sepak takraw (SEKAWAN BINTANG dan SANGGA BUANA) dan agama. P. Ramlee juga merupakan pembela kaum seniman di Jalan Ampas dalam mendapatkan taraf dan ganjaran yang lebih wajar. P. Ramlee juga cuba menduga nasib dalam bidang perniagaan. P. Ramlee dan beberapa orang rakan pernah menerbitkan majalah hiburan seperti Bintang dan kemudiannya majalah Gelanggang Filem atas nama Penerbitan P. Ramlee. P. Ramlee juga pernah menubuhkan dengan rakan-rakannya syarikat-syarikat filem seperti PERFIMA (Perusahaan Filem Malaysia) dan SAZARA Filem Company tetapi kesemua usaha perniagaannya (termasuk kedai mahjong) akhirnya menemui kerugian dan terus gagal. Walaupun TV sudah ada sejak 1964 namun P. Ramlee hanya berlakon dalam dua drama TV iaitu dalam Rantau Selamat dan Intan, kedua-duanya karya Abdullah Hussain. P. Ramlee jarang-jarang sekali dibawa berpolemik, baik di Radio, TV atau di forum akademik. Forum paling penting yang dihadirinya ialah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Singapura dan di Johor Bahru dalam tahun 1956, dan Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam tahun 1971. Kertas kerjanya (hanya dua halaman) berjudul 'Cara-cara Meninggikan Mutu dan Memperkayakan Muzik Jenis Asli dan Tradisional Malaysia Demi Kepentingan Negara'. P. Ramlee, anehnya, tidak pernah mengunjungi dunia luar selain Indonesia, Hong Kong, Manila dan Tokyo walaupun peluang diberi oleh Shaw Brothers sejak kejayaan filem Penarik Beca dulu. P. Ramlee meninggal dunia pada tanggal 29 Mei 1973 jam 5.30 pagi kerana serangan sakit jantung pada usia 44 tahun. Pada tahun 1990 Allahyarham telah dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri” oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke 9 (DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah), Allahyarham adalah artis dan karyawan seni pertama mendapat anugerah kedua tertinggi Negara itu. Pada tahun 2005 Allahyarham di anugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni dan Perfileman dari Universiti Malaya. Kini P. Ramlee sudah tiada. Dia melangkah ke ambang perfileman dengan Cinta dan dengan cintanya kepada genre senilakon itulah maka dia mencapai pangkat tertinggi sebagai pejuang seninya - sebagai seorang Laksamana - disimbolkan dengan filem terakhirnya Laksamana Do Re Mi.
Begitu juga dengan cintanya kepada senilagu yang disimbolkan dengan lagu Azizah sehingga berakhir irama dan lagu dengan Air Mata di Kuala Lumpur di mana beliau kini dikuburkan.
itulah insan yang bernama "P.RAMLEE" ATAU TEUKU ZAKARIA BIN TEUKU NYAK PUTEH (22 MAC 1929 – 29 MEI 1973)
* Sedekahkanlah Al-Fatihah untuk Allahyarham.
(Teuku Zakaria binti Che Mah – 22 MAC 1929 – 29 MEI 1973)