KUALA LUMPUR 9 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di negara ini supaya menghayati sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan iktibar dan pengajaran.
Seri Paduka bertitah, Rasulullah meninggalkan panduan amat berguna kepada umatnya untuk diikuti agar mampu mencipta satu tamadun yang gemilang.
Menurut Tuanku Mizan, antara asas ke arah kecemerlangan yang sering ditekankan oleh Rasulullah ialah kepentingan kesatuan di kalangan umatnya sebagai pemangkin kepada pembentukan ‘khaira ummah’ (umat terbaik).
“Untuk menjadi sebuah negara maju pada masa depan tidak akan tercapai jika aspek kesatuan atau perpaduan diambil ringan oleh semua pihak,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2009 bertemakan Wahdah Pemangkin Khaira Ummah di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
Sambutan itu disertai hampir 100,000 peserta termasuk kakitangan kerajaan, badan berkanun, pertubuhan swasta, golongan pelajar dan badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam perkembangan sama, Tuanku Mizan bertitah, sejarah Islam yang diterjemahkan melalui kegemilangannya telah membuktikan umat manusia pada suatu ketika dulu pernah bersatu di bawah paksi kebenaran.
“Disebabkan sikap tamak dan mementingkan diri sendiri serta tidak mempedulikan nilai-nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi maka berlakulah pelbagai mala petaka dan kemusnahan lantaran kemurkaan Allah,” titah Seri Paduka.
Oleh yang demikian, tegas Seri Paduka, Islam mengharamkan sebarang bentuk penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi sebaliknya menghampiri keamanan, kesamarataan hak dan saling bantu membantu antara satu sama lain.
Dalam titah tersebut, Yang di-Pertuan Agong juga memberi penekanan bahawa Islam mewajibkan perlindungan dan hak sama rata ke atas setiap lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam.
“Beta menyeru umat Islam bersama-sama berusaha dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan serta meningkatkan penghayatan terhadap al-Quran dan Sunah Rasulullah sehingga menjadi ummah yang bersatu padu, terbilang dan sentiasa mapan mendepani cabaran semasa,” titah baginda.
Pada majlis itu, Seri Paduka berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima.
Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009 yang buat julung kalinya diperkenalkan pada sambutan kali ini ialah Profesor Dr. Sidek Baba dari Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang membawa pulang RM50,000 dan plak.
Penerima Anugerah Maulidur Rasul pula ialah Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman; dan Pengarah Urusan Syarikat Laksamana Nusantara Sdn. Bhd., Mortadha Abdullah.
Selain itu Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd. Yunus Pathi Mohd; pelajar, Muhammad Ahmad Zahid dan kanak-kanak istimewa kurang upaya dari pinggang ke bawah, Muhammad Haziq Samrat.
Masing-masing menerima wang tunai RM22,000 dan plak.
***Petikan dari Utusan Malaysia
**itulah antara pesanan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kepada kita semua, oleh itu sedarlah wahai manusia yang mempunyai sikap tamah haloba yang gilakan kedukan jawatan dan sebagainya. pesanan Tuanku Mizan itu tepat pada masa dan ketikanya dimana keadaan sekarang dengan kegawatan ekonomi dan kegawatan politik sejak akhir-akhir ini. marilah kita semua mengambil perhatian yang serius akan pesanan dan titah Seri Paduka itu akan kepintingan kehidupan kita bersama. kita juga haruslah menghayati pengorbanan dan sikap kesabaran Rasulullah SAW. Rasulullah meletakan kepentingan kepada Allah mengatasi segalanya, baginda juga sentiasa mendapat pelbagai ujian dari Allah SWT bagi menguji kesabaraan dan ketaqwaan baginda akan perintah Allah SWT. bersamalah kita semua mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW yang digelar "AL-AMIN"
0 ulasan:
Catat Ulasan